Monday, April 18, 2011

Allah Lebih Menyayangi Dirimu

Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Allahuakbar…!!!!
Ku mulakan hari ini dengan  kesedihan dan perasaan yang hiba. Kenapa tidaknya, selesai sahaja aku menunaikan solat subuh, tiba-tiba telefonku berbunyi menandakan mesej masuk ketelefonku. “TIT, TIT….TIT,TIT….” Aku segera mencapai telefon yang berada diatas meja dan membukanya. Aku beranggapan, bila ada panggilan ataupun mesej yang dihantar pagi-pagi mahupun lewat malam, pasti ada sesuatu yang penting yang hendak disampaikan. Mesej tersebut telah dihantar oleh adikku. Katanya : 

“ Assalamualaikum Abg Ji,  Ustaz Mat Nor hok ngajo ngaji mejid kite x dop doh…”. 

Aku tersentap dan tidak dapat berkata apa-apa buat seketika. Aku terduduk dan seolah-olah tidak percaya. Untuk lebih kepastian, aku telah menelefon ibuku dan bertanya berkenaan khabaran tersebut. Ibuku menyatakan, arwah telah kembali kerahmatullah lewat tengah malam semalam di hospital.  Tanpa disedari, air mataku mula bergenang dan menitik setitik demi setitik membasahi pipiku. Kenangan ketika aku bersama mengikuti kuliahnya mula menerjah masuk kedalam fikiranku.Tidak dapatku bayangkan betapa pemergiannya merupakan kehilangan yang besar masyarakat dan juga kepada agama kerana keilmuanya yang tinggi dan mendalam dalam bidang tajwid serta taranum al-Quran. Allahuakbar.....sesungguhnya daripada Engkau kami datang dan kepada Engkau jualah kami akan dikembalikan. Ya Allah, Kau rahmatilah dia, letakkanlah dia dalam kalangan orang-orang yang Kau sayang. Aku redha atas pemergiannya ya Allah......AL-FATIHAH.

Sunday, April 17, 2011

Ya Rasulullah...



Ya Rasulullah, aku sangat merinduimu....Sungguh tabahnya hatimu Rasulullah. Engkau sanggup menanggung derita yang melanda. Engkau sanggup menahan sengsara yang menjengah. Engkau sanggup menahan hujan fitnah yang membasahi hidupmu. Engkau sanggup untuk menanggung semua seksaan yang ditanggung umatmu ketika nyawanya dicabut..Biarpun betapa pedih terseksanya dirimu, namun demi umatmu, kau sanggup tempuhi segalanya.Wahai Rasulullah, engkau segalanya. Engkaulah contoh terbaik buat umat akhir zaman. Sifatmu sungguh sempurna dan menjadi pelengkap peribadi. Ya Rasulullah, engkaulah segalanya...YA ALLAH..!!!! . Aku mohon kepadaMu, aku  merayu padaMu, tingkatkanlah kecintaanku kepada Nabi S.A.W., basahkanlah bibirku dengan zikir dan selawat kepadanya agar dapatku berjumpa dengannya diakhirat kelak dengan hati yang sejahtera. Perkenankanlah Ya Allah....aku mohon....


Cintailah Rasulullah S.A.W.

wahai seorang kekasih,
telah lama kau dirindui,
pilu sedih dalam kerinduan,
menangis pun tak berair mata,
namun hati tetap gembira,
syafaatmu menanti disana,

sungguh tabahnya hatimu,
menanggung derita yang melanda,
biar pun pedih terseksa,
kerana umat kau tempuhi jua,

wahai rasul kaulah segalanya,
contoh terbaik umat akhir zaman,
akhlak mu tinggi kan kami jejaki,
sifatmu sempurna pelengkap peribadi,

wahai rasul kami merindui,
sinaran wajahmu mendamaikan jiwa,
manis senyumanmu penawar hiba,
dihati kami kaulah segalanya,
  
wahai seorang kekasih,
telah lama kau dirindui,
pilu sedih dalam kerinduan,
menangis pun tak berair mata,
namun hati tetap gembira,
diakhirat kita kan bersua.

ALLAHUMMASOLLIALASAIDINAMUHAMMAD
WAALAALISAIDINAMUHAMMMAD



Tuesday, April 5, 2011

Bukti UMNO Menghina Raja-Raja Melayu



Bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin UMNO.

1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang daripada Istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta.

2. Tahun 1974, Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Datuk Seri Tajol Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya? Tiba-tiba Datuk Seri Tajol Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.(UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.

3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Datuk Rahim Bakar bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.

4. 1983 Umno hendak meminda supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.

5.P ada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?

7. Satu demonstrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya?

8. Pada 18 Januari 1993, Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)

9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu.

10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan “Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat pada Sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993. (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk mengganti Sutan Ismail Petra pada 29 April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya? Budaya mana pemimpin umno ambil?

12. Kenyataan biadab Shahidan Kasim, bekas MB Perlis mengatakan “Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti” (BH 11 Jun 1993.)

13. Datuk Mohd Taib kata Nizar derhaka. Dia lupakah yang dia bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun BN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu. Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan? Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang? Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar pada 6 Feb 2009.

15. Datuk Seri Shahidan Kassim boikot perlantikan Dr Mohd Isa Sabu sebagai MB Perlis. Bukankah ini derhaka namanya?

16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan ‘patik’ yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan ‘saya tuanku’. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu.

17. Datuk Zahid Hamidi ketika menjadi ketua pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan, ultan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campur tangan soal pelantikan Raja-Raja Melayu.

Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dengan Raja-Raja Melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993.

Berita Harian pada 23/1/1993 mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara ini? Jawabnya tentulah pemimpin Umno. Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat Raja-Raja Melayu

Guru Oh Guru


GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Monday, September 27, 2010

Tarbiah Ramadhan

Allahuakbar!!! Pejam celik-pejam celik, kita sudah berada dalam bulan Syawal yang mana pada hari ini tanggal 18 Syawal 1431 bersamaan dengan 27 September 2010 dan ini pun sudah menghampiri ke penghujungnya dan seterusnya kita akan meniti pula ke bulan Zulkaedah dan seterusnya Zulhijjah yang mana ibadat haji dilaksanakan. Begitu pantas masa berlalu. Terasa baru sahaja kita berada di dalam bulan Ramadhan yang mana didalamnya mengandungi seribu satu keberkatan. Beruntunglah bagi mereka yang mana di bulan ini, dia menjadikannnya sebagai pentas dimana bagi menambah dan meningkatkan lagi keimanan dan amal soleh demi menggapai Mardhotillah (keredhaan Allah) dan betapa ruginya dan celakalah bagi mereka yang mana bulan ini dijadikannya sebagai tempat untuk menambahkan lagi kekufurannya kepada Allah S.W.T..

     Sahabatku sekalian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, dihari dan bulan yang baik ini, marilah sama-sama kita merenung seketika sambil bermuhasabah kepada diri masing-masing, apakah Ramadhan yang baru kita lalui baru-baru ini memberikan kesan kepada kehidupan kita samada dari segi akidah kita, akhlak kita, ibadat kita dan semua aspek kehidupan kita. Jika di bulan Ramadhan, kita sering ke masjid setiap hari , pagi, petang, siang dan malam bagi mengerjakan solat fardhu mahupun sunat, dan kenapa pula bila berakhirnya Ramadhan, amalan tersebut juga berakhir. Jika di bulan Ramadhan kita sering menghulurkan tangan bagi meringankan beban orang lain dan kenapa pula bila berlalunya Ramadhan, amalan sedekah ini tidak dijadikan amalan kita. Jika di bulan Ramadhan lalu, kita sering meluangkan masa kita untuk membaca Al-Quran tetapi malangnya bila Ramadhan pergi meninggalkan kita, kita tidak lagi mempunyai masa untuk mentelaahnya bahkan mungkin untuk melihatnya walaupun seketika.

sama-samalah kita merenung...

     Saudaraku sekalian, apakah ertinya jika Ramadhan yang kita lalui baru-baru ini hanya sekadar berpuasa semata-mata tanpa tanpa memikirkan falsafah disebalik pengurniaan bulan ini kepada kita semua. Adakah maksud puasa yang kita fahami hanyalah menahan diri daripada makan dan minum? Adakah kita hanya faham bahawa berpuasa hanya berlapar dan dahaga? Jika beginilah pandangan serta pegangan sahabat sekalian, maka sahabat sekalian adalah salah. Puasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam yang ketiga yang mana diwajibkan keatas tiap-tiap orang yang beriman sebagaimana firman Allah S.W.T. didalam surah Al- Baqarah ayat 183 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana  yang telah diwajibkan keatas orang-orang yang sebelum daripada kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwa". Puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Dari segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa untuk suatu jangka masa yang tertentu yakni bermula dari terbit fajar sadiq sehinggalah terbenamnya matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia serta bertengkar ataupun bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara langsung, amalan puasa akan menyuburkan sikap murni didalam diri pelakunya dan adalah menjadi harapan kita agar kesemua yang baik ini akan terus dipraktikkan kebulan-bulan yang berikutnya.

     Justeru itu, sahabat sekalian, saya menyeru kepada tuan-tuan dan kepada diri saya sendiri khususnya, Ramadhan yang kita lalui SEHARUSNYA dan SEMESTINYA mampu untuk mentarbiahkan diri kita supaya menjadi insan yang lebih baik dan insan yang sentiasa memperbaiki diri dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.. Kita semestinya menjadikan bulan ini sebagai medium bagi memperbaharui serta meningkatkan lagi  keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T setelah sebelas bulan iman kita dihasuti, dicemari serta dinodai oleh nafsu dan syaitan laknatullah. Dan sebagaimana yang kita semua ketahui, salah satu kelebihan bulan ini adalah semua syaitan dan iblis laknatullah dirantai dan dibelenggu bagi memudahkan umat Muhammad S.A.W. untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Sepatutnya juga, Ramadhan ini mampu melatih diri kita untuk mengekalkan amalan fardhu serta mampu untuk menambahkan amalan sunat agar dapat melatih diri kita untuk rajin beribadat kepada Allah S.W.T.. Disamping itu, kita juga seharusnya dapat menghiasi kehidupan kita ini dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti bersifat jujur, amanah, baik hati, sabar dan sebagainya. Hal ini kerana Ramadhan adalah bulan muhasabah diri dan juga bulan memperbaiki diri dan perkara ini tidak sedari ramai dan ianya hanya disedari bagi mereka yang benar-benar beriman.

     Selain itu, amal ibadat kita semestinya semakin hari semakin meningkat kerana  bulan ini merupakan bulan latihan bagi mereka yang mengerti. Sebagai contohnya, jika sebelum ini, kita merasa malu untuk datang kemasjid kerana takut-takut dikata orang  kita datang kemasjid hanya kerana adanya sesuatu majlis, kita tekadkan hati kita untuk menjadikan amalan solat tarawih di masjid itu sebagai permulaan dan latihan bagi kita untuk terus menghadirkan diri ke masjid apabila berakhirnya Ramadhan. Barulah orang tidak akan kata kepada kita bahkan mereka akan memuji pula kepada kita bahawa Ramadhan yang berlalu pergi telah memberi kesan yang baik serta positif kepada diri kita. Amalan berdoa yang selalu dipanjatkan ketika Ramadhan seharusnya dapat dipraktikkan secara terus menerus dalam kehidupan kita seharian samaada ketika susah mahupun ketika senang dan ini bagi menunjukkan kebergantungan diri kita kehadrat Allah S.W.T. seteguh rumpun buluh didaratan dan juga seteguh karang dilautan kerana iktikad kita...MAKHLUK TIADA KUASA, ALLAH TA'ALA MAHA BERKUASA. ALLAHUAKBAR 3X!!!

Ramadhan : Bulan Yang Penuh Dengan Keberkatan

Justeru itu, saya berpesan kepada sahabat sekalian dan kepada diri saya sendiri khususnya, sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada bulan yang penuh dengan barakah ini agar segala aspek kehidupan kita sentiasa berada dilandasan syariat Allah S.W.T.. InsyaAllah.(^_^)