Monday, September 27, 2010

Tarbiah Ramadhan

Allahuakbar!!! Pejam celik-pejam celik, kita sudah berada dalam bulan Syawal yang mana pada hari ini tanggal 18 Syawal 1431 bersamaan dengan 27 September 2010 dan ini pun sudah menghampiri ke penghujungnya dan seterusnya kita akan meniti pula ke bulan Zulkaedah dan seterusnya Zulhijjah yang mana ibadat haji dilaksanakan. Begitu pantas masa berlalu. Terasa baru sahaja kita berada di dalam bulan Ramadhan yang mana didalamnya mengandungi seribu satu keberkatan. Beruntunglah bagi mereka yang mana di bulan ini, dia menjadikannnya sebagai pentas dimana bagi menambah dan meningkatkan lagi keimanan dan amal soleh demi menggapai Mardhotillah (keredhaan Allah) dan betapa ruginya dan celakalah bagi mereka yang mana bulan ini dijadikannya sebagai tempat untuk menambahkan lagi kekufurannya kepada Allah S.W.T..

     Sahabatku sekalian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, dihari dan bulan yang baik ini, marilah sama-sama kita merenung seketika sambil bermuhasabah kepada diri masing-masing, apakah Ramadhan yang baru kita lalui baru-baru ini memberikan kesan kepada kehidupan kita samada dari segi akidah kita, akhlak kita, ibadat kita dan semua aspek kehidupan kita. Jika di bulan Ramadhan, kita sering ke masjid setiap hari , pagi, petang, siang dan malam bagi mengerjakan solat fardhu mahupun sunat, dan kenapa pula bila berakhirnya Ramadhan, amalan tersebut juga berakhir. Jika di bulan Ramadhan kita sering menghulurkan tangan bagi meringankan beban orang lain dan kenapa pula bila berlalunya Ramadhan, amalan sedekah ini tidak dijadikan amalan kita. Jika di bulan Ramadhan lalu, kita sering meluangkan masa kita untuk membaca Al-Quran tetapi malangnya bila Ramadhan pergi meninggalkan kita, kita tidak lagi mempunyai masa untuk mentelaahnya bahkan mungkin untuk melihatnya walaupun seketika.

sama-samalah kita merenung...

     Saudaraku sekalian, apakah ertinya jika Ramadhan yang kita lalui baru-baru ini hanya sekadar berpuasa semata-mata tanpa tanpa memikirkan falsafah disebalik pengurniaan bulan ini kepada kita semua. Adakah maksud puasa yang kita fahami hanyalah menahan diri daripada makan dan minum? Adakah kita hanya faham bahawa berpuasa hanya berlapar dan dahaga? Jika beginilah pandangan serta pegangan sahabat sekalian, maka sahabat sekalian adalah salah. Puasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam yang ketiga yang mana diwajibkan keatas tiap-tiap orang yang beriman sebagaimana firman Allah S.W.T. didalam surah Al- Baqarah ayat 183 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana  yang telah diwajibkan keatas orang-orang yang sebelum daripada kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwa". Puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Dari segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa untuk suatu jangka masa yang tertentu yakni bermula dari terbit fajar sadiq sehinggalah terbenamnya matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia serta bertengkar ataupun bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara langsung, amalan puasa akan menyuburkan sikap murni didalam diri pelakunya dan adalah menjadi harapan kita agar kesemua yang baik ini akan terus dipraktikkan kebulan-bulan yang berikutnya.

     Justeru itu, sahabat sekalian, saya menyeru kepada tuan-tuan dan kepada diri saya sendiri khususnya, Ramadhan yang kita lalui SEHARUSNYA dan SEMESTINYA mampu untuk mentarbiahkan diri kita supaya menjadi insan yang lebih baik dan insan yang sentiasa memperbaiki diri dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.. Kita semestinya menjadikan bulan ini sebagai medium bagi memperbaharui serta meningkatkan lagi  keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T setelah sebelas bulan iman kita dihasuti, dicemari serta dinodai oleh nafsu dan syaitan laknatullah. Dan sebagaimana yang kita semua ketahui, salah satu kelebihan bulan ini adalah semua syaitan dan iblis laknatullah dirantai dan dibelenggu bagi memudahkan umat Muhammad S.A.W. untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Sepatutnya juga, Ramadhan ini mampu melatih diri kita untuk mengekalkan amalan fardhu serta mampu untuk menambahkan amalan sunat agar dapat melatih diri kita untuk rajin beribadat kepada Allah S.W.T.. Disamping itu, kita juga seharusnya dapat menghiasi kehidupan kita ini dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti bersifat jujur, amanah, baik hati, sabar dan sebagainya. Hal ini kerana Ramadhan adalah bulan muhasabah diri dan juga bulan memperbaiki diri dan perkara ini tidak sedari ramai dan ianya hanya disedari bagi mereka yang benar-benar beriman.

     Selain itu, amal ibadat kita semestinya semakin hari semakin meningkat kerana  bulan ini merupakan bulan latihan bagi mereka yang mengerti. Sebagai contohnya, jika sebelum ini, kita merasa malu untuk datang kemasjid kerana takut-takut dikata orang  kita datang kemasjid hanya kerana adanya sesuatu majlis, kita tekadkan hati kita untuk menjadikan amalan solat tarawih di masjid itu sebagai permulaan dan latihan bagi kita untuk terus menghadirkan diri ke masjid apabila berakhirnya Ramadhan. Barulah orang tidak akan kata kepada kita bahkan mereka akan memuji pula kepada kita bahawa Ramadhan yang berlalu pergi telah memberi kesan yang baik serta positif kepada diri kita. Amalan berdoa yang selalu dipanjatkan ketika Ramadhan seharusnya dapat dipraktikkan secara terus menerus dalam kehidupan kita seharian samaada ketika susah mahupun ketika senang dan ini bagi menunjukkan kebergantungan diri kita kehadrat Allah S.W.T. seteguh rumpun buluh didaratan dan juga seteguh karang dilautan kerana iktikad kita...MAKHLUK TIADA KUASA, ALLAH TA'ALA MAHA BERKUASA. ALLAHUAKBAR 3X!!!

Ramadhan : Bulan Yang Penuh Dengan Keberkatan

Justeru itu, saya berpesan kepada sahabat sekalian dan kepada diri saya sendiri khususnya, sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada bulan yang penuh dengan barakah ini agar segala aspek kehidupan kita sentiasa berada dilandasan syariat Allah S.W.T.. InsyaAllah.(^_^)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.